Dakwah kepada orang bukan Islam memerlukan metode yang sesuai dan mantap, supaya usaha dakwah mendapat tarikan dan pengaruh dari sasaran. Langkah pertama yang perlu dilakukan untuk berdakwah kepada orang bukan Islam ialah cuba memahami dasar-dasar agama mereka dan adat-adat kebudayaan, termasuk pantang larang. Dengan itu, usaha mengetahui perkara-perkara tersebut hendaklah dilakukan sebelum memulakan dakwah. Dalam hal ini, mempelajari perbandingan agama sangat perlu. Usaha dakwah tanpa mengetahui dasar-dasar agama dan adat kebudayaan sesuatu kaum akan bercanggah dengan peraturan dakwah, yang bukan setakat mungkin tidak menghasilkan kejayaan, tetapi boleh membawa kesan sebaliknya.
1.Dakwah bil hal.
Dakwah bil hal bererti dakwah melalui contoh teladan yang baik. Ia menjadi contoh teladan atau modul kepada kemuliaan dan keagungan Islam. Dakwah bil hal boleh menghilangkan perasaan prejudis dan negatif orang bukan Islam terhadap Islam. Penonjolan contoh teladan yang baik dalam kehidupan harian orang Islam adalah merupakan satu perkara yang penting dalam dakwah kerana ia boleh memperlihatkan tentang kemuliaan agama Islam yang perlu diikuti oleh semua orang. Contoh teladan yang baik akan menjadi pengaruh yang besar kepada orang lain untuk mengikuti sesuatu cara hidup yang ditunjukkan.
2.Pembinaan hubungan.
Membina hubungan bertujuan untuk melahirkan perasaan jinak, percaya dan terpaut kepada usaha dakwah. Ia juga untuk melenyapkan perasaan curiga dan syak wasangka terhadap Islam dan orang Islam. Ia boleh memikat hati sasaran. Kepercayaan memainkan peranan yang besar untuk mempengaruhi seseorang. Nabi SAW mengarahkan orang Islam supaya membina hubungan yang baik dengan orang lain. Persahabatan yang baik di sisi Allah ialah persahabatan yang paling baik di kalangan mereka. Sabda Nabi Muhammad SAW:
Maksudnya: Kawan yang terbaik di sisi Allah SWT ialah orang yang paling baik kepada kawannya, dan jiran yang terbaik di sisi Allah ialah orang yang terbaik kepada jirannya.
Hadis tersebut membawa pengukur dari Allah untuk menilai kawan dan jiran terbaik di sisi-Nya. Dalam dakwah hubungan ini sangat penting kerana ia menjadi lebih senang untuk mempengaruhi sasaran.
3.Penonjolan diri dengan ketinggian status.
Pendekatan ini ialah dengan cara menonjolkan diri supaya dapat dilihat bahawa orang Islam memiliki status yang tinggi dalam kehidupan, sebagai kesan daripada agama Islam yang tinggi dan mulia. Pengikut Islam adalah golongan yang berjaya dalam hidup di dunia ini dan hendaklah sentiasa berusaha kearah itu. Orang Islam tidak sekali-kali dan bukanlah merupakan golongan yang bodoh, jumud, jahil, lemah, comot, pemalas dan hina, kerana kemuliaan dan ketinggian adalah hak orang Islam. Keadaan demikian boleh membawa pengaruh yang besar kepada orang bukan Islam.
Kejayaan hidup, terutamanya dari sudut kemajuan ekonomi orang Islam boleh menjadi pendorong kepada orang bukan Islam terhadap Islam. Prof. Khoo Kay Kim menjelaskan bahawa salah satu faktor utama yang menyulitkan orang Cina di negara ini membuat tanggapan dan penilaian terhadap Islam adalah berpunca dari kemiskinan hidup sebahagian besar dari masyarakat Melayu terutama di kawasan luar bandar. Keadaan tersebut menyebabkan mereka salah faham bahawa agama Islam itu agama yang antikemajuan ekonomi.
Kejayaan hidup yang dicapai oleh seseorang menempatkannya ke dalam golongan yang mempunyai status yang tinggi dan sangat senang menjadi tarikan orang lain kepadanya.
4.Penekanan isi berhubung dengan wahyu dan kerasulan.
Penekanan tetang wahyu dan kerasulan (isi dakwah) adalah untuk memberi kefahaman bahawa Islam berasal dari Pencipta alam ini dan keadaannya berbeza sama sekali dengan agama-agama lain yang punca asalnya tidak menentu, sama ada dari Pencipta atau dari pemikiran manusia. Perbincangan mengenai Al-Quran yang datang dari Allah SWT dan mukjizat-mukjizat yang membuktikannya hendaklah ditonjolkan. Perbincangan juga ditonjolkan tentang keaslian Al-Quran sampai sekarang. Perbincangan-perbincangan tersebut untuk memperlihatkan bahawa Islam bukan agama untuk manusia, tetapi agama untuk Pencipta alam ini.
Nota:Kredit untuk buku Profesor Aziz dari Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, UM - METODOLOGI DAKWAH
Monday, August 3, 2009
METODE DAKWAH KEPADA ORANG BUKAN ISLAM
Posted by hero at 1:33 AM
Labels: Cintakan Allah Yang Maha Agung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment